Oleh ROSALWANI CHE SOH
[email protected]
JELI: Cubaan lima lelaki warga Myanmar merentas negeri tanpa surat kebenaran polis dengan menaiki bas ekspres gagal apabila mereka ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.45 malam, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 45 tahun ditahan selepas anggota polis menjalankan pemeriksaan ketat terhadap penumpang yang menaiki kenderaan awam itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ahmad Ariffin berkata, siasatan lanjut mendapati kelima-lima suspek menaiki bas ekspres di Pasir Mas dan dikatakan dalam perjalanan menuju ke Kedah.
“Suspek dipercayai dihantar oleh sindiket tertentu menaiki bas ekspres dari Pasir Mas menuju ke Kedah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, kelima-lima suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan untuk rentas daerah daripada pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad dalam pada itu meminta pengusaha bas supaya melakukan pemeriksaan terhadap penumpang dan memastikan mereka mempunyai permit rentas negeri sebelum menaiki kenderaan masing-masing.
“Pengusaha bas perlu memastikan semua penumpang sama ada warganegara atau warga asing mempunyai surat kebenaran polis sebelum dibenarkan menaiki bas ekspres dan melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri.
“Ini bertujuan mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka,” katanya.
Tambah Ahmad, kesemua suspek ditahan reman selama dua minggu bermula semalam hingga 14 Mac ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1953/69. – UTUSAN ONLINE