5 tumpuan utama KKMM tahun ini - Utusan Malaysia

5 tumpuan utama KKMM tahun ini

SAIFUDDIN Abdullah menunjukkan buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara dan Kad Laporan Setahun KKMM pada Majlis Pelancaran Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara dan Kad Laporan Setahun KKMM di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak lima tumpuan utama Kementerian Komunikasi Multimedia (KKMM) bagi menjayakan agenda kerajaan tahun ini. 

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tumpuan pertama adalah pelaksanaan 5G yang dicepatkan setahun.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberi tumpuan dalam menjayakan pelaksanaan 5G yang akan menyempurnakan kesalinghubungan internet ke seluruh negara dan menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi digital yang lebih rancak termasuk dari segi pembangunan industri digital tempatan, penjenamaan negara dan pelaburan digital. 

Beliau memberitahu, pemerkasaan teknologi keselamatan siber (SiberKasa) melibatkan CyberSecurity Malaysia (CSM) akan melaksanakan SiberKasa bagi membangun, memperkasa dan mengukuhkan prasarana keselamatan siber negara yang meliputi tiga komponen utama, iaitu manusia, proses dan teknologi. 

“Sebagai agensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, CSM akan memperluaskan penglibatannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa manakala Bahagian Kawalan Pematuhan KKMM sedang menyiapkan dasar dan draf Akta Anti-Buli Siber. 

“Tumpuan ketiga, peningkatan pelaburan asing dalam ekonomi digital. Di samping meneruskan kerja-kerja pembinaan kapasiti masyarakat dan membangun produk-produk ekonomi digital tempatan, termasuk melahirkan ikon-ikon negara dan pemasarannya di peringkat antarabangsa, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menarik lebih banyak pelaburan asing dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara Dan Kad Laporan Setahun KKMM (Mac 2020 – Mac 2021) di sini hari ini. 

Saifuddin berkata, pengantarabangsaan Industri Kreatif Malaysia menjadi tumpuan keempat di mana KKMM khususnya melalui RTM akan menganjurkan Anugerah Nasyid Antarabangsa Malaysia yang pertama pada tahun ini yang akan menobatkan Malaysia sebagai Persada Nasyid Kontemporari (Home of Contemporary Nasyid). 

Katanya, KKMM melalui FINAS, MyCreative Venture, Cendana akan juga memulakan pelan tindakan Road to Oscar, Road to Grammy dan Jejak Budaya dan Warisan Kuala Lumpur.

“Kita juga mengharapkan agar Perjanjian Pengeluaran – Bersama Filem dengan negara-negara sahabat dapat dimeterai, bermula dengan Australia, Korea Selatan dan China.

“Tumpuan terakhir adalah transformasi RTM bersempena ulang tahun ke-75 RTM, ia akan memulakan pelan transformasi yang menyeluruh dengan mengetengahkan penyampaian, program berita dan hal ehwal semasa yang mampu menarik imaginasi penonton, mempromosi Orkestra RTM ke pentas antarabangsa, melancarkan satu saluran baharu iaitu saluran sukan dan menjadi stesen TV rasmi atau utama untuk gerakan dan kempen baharu seperti kesihatan mental,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN