5.6 juta sudah daftar PICK - Utusan Malaysia

5.6 juta sudah daftar PICK

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 5,633,903 orang sudah mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu yang direkodkan sehingga semalam oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

“Angka itu mewakili 23.2 peratus daripada jumlah populasi Malaysia dengan negeri paling ramai mendaftar PICK ialah Selangor iaitu 1.6 juta orang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Pada masa sama ujar beliau, JKJAV melaporkan 321,331 orang sudah pun menerima dos pertama vaksin itu dengan Selangor juga muncul paling tinggi iaitu seramai 38,632 orang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini divaksin dan beliau akan menjadi penerima pertama dos kedua sebagai pelengkap imunisasi esok.

Dianggarkan 500,000 orang akan menerima suntikan fasa pertama sejak bulan lalu sehingga bulan depan diikuti fasa kedua meliputi 9.4 juta warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara fasa ketiga PICK melibatkan sejumlah 13.7 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas pula dan hanya akan bermula pada Mei ini sehingga Februari tahun depan.

“JKJAV juga perkenalkan lima kaedah pendaftaran untuk memudahkan masyarakat antaranya hadir sendiri ke fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran,” kata Ismail Sabri lagi.

Proses pendaftaran PICK katanya, turut akan dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program bantuan untuk penduduk luar bandar.

Orang ramai juga boleh mendaftar nama mereka menerusi laman sesawang rasmi JKJAV iaitu http://vaksincovid.gov.my atau menghubungi talian 1-800-888-828 atau aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, beliau turut gembira apabila purata perkembangan kes harian direkodkan menunjukkan trend positif dan dijangka mampu mencatatkan 500 kes sehari pada Mei depan.

Keyakinan tersebut kata Ismail Sabri, bersandarkan data terkini kadar kebolehjangkutan yang sudah berada pada paras 0.87 dengan trend penurunan pula dilaporkan sebanyak 80 peratus.

“Bilangan kluster di tempat kerja juga turun di samping jumlah pesakit Covid-19 yang masuk ke Unit Rawatan Rapi dan penggunaan alat ventilator turut mencatatkan penurunan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN