450 petugas kesihatan terima vaksin di Pontian - Utusan Malaysia

450 petugas kesihatan terima vaksin di Pontian

DR. Surinah Asan (kiri) memberi taklimat dan penerangan kepada para penerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan peringkat Pontian di Johor. -UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 450 petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan antara 847 penerima yang akan mengambil suntikan vaksin masing-masing bagi daerah ini yang bermula semalam.

Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Pontian, Dr. Surinah Asan berkata, penerima selebihnya pula merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan dan agensi kerajaan lain yang terlibat secara langsung untuk mencegah penularan pandemik Covid-19 di daerah ini.

Katanya, mereka termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Depoh Tananan Imigresen Pekan Nanas, warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pontian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

“Selain itu, turut menerima suntikan ialah pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Proses pemberian suntikan akan berjalan mengikut fasa dengan lokasi pemberian dijalankan di Dewan Jubli Intan Pontian, Dewan Serbanguna Majlis Daerah Pontian di Benut, Dewan Tunku Ismail Ibrahim Pekan Nanas dan Dewan Serbaguna Kampung Perpat Timbul,”  katanya di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai mengetuai seramai 150 orang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Daerah Pontian.

Turut sama mengambil suntikan berkenaan ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman dan Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Raffi Abdullah.

Selain itu, Yang Dipertua MDP, Mohd. Ezzudin Sanusi; Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustaffa Bakri Salleh dan Pegawai APM Pontian, Kapten (PA) Mohd. Noorhafidzul Nordin turut serta dalam program itu.

Sementara itu, Dr. Surinah memaklumkan, ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong bersama  90 petugas barisan hadapan lain di Pekan Nanas turut menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan  Pekan Nanas.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN