444,185 orang sudah daftar terima vaksin Covid-19 di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

444,185 orang sudah daftar terima vaksin Covid-19 di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow melengkapkan dos vaksin Covid-19 selepas menerima suntikan vaksin dos kedua di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 444,185 orang telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 di negeri ini, setakat semalam.

Selain itu, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, seramai 28,316 orang telah menerima vaksin tersebut daripada lebih 31,000 orang yang layak dalam fasa pertama, setakat semalam.

Jelas beliau, baki kira-kira 3,000 orang lagi yang layak dalam fasa pertama itu sedang menunggu giliran masing-masing untuk menerima suntikan tersebut.

“Bagi dos kedua suntikan vaksin pula sudah bermula sejak beberapa hari lalu dan sehingga semalam, 328 orang telah menerima suntikan dos kedua itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Sebelum ini, Kon Yeow merupakan individu pertama di Pulau Pinang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 28 Februari lalu sekali gus memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow sekali lagi mengulangi permohonan supaya pekerja kilang di negeri ini diberi keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi membendung penularan wabak tersebut dalam kalangan pekerja sektor perkilangan.

Katanya, pada masa ini terdapat beberapa kluster aktif membabitkan pekerja kilang di negeri ini dan hanya dengan pemberian vaksin Covid-19 situasi jangkitan wabak berkenaan dapat dikawal segera.

“Kita berharap Kerajaan Pusat boleh buat keputusan berhubung permintaan supaya pekerja di sektor perkilangan diberi keutamaan menerima vaksin memandangkan ada kluster aktif.

“Kita berharap cara ini akan dapat mengawal kadar jangkitan kes Covid-19 di Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga memohon Kerajaan Pusat menguatkuasa garis panduan ‘Save at Work’ yang digubal Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) di kilang-kilang di Pulau Pinang.

Selain itu tambah beliau, kerajaan negeri juga memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan analisis risiko situasi semasa mengenai kluster-kluster di Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN