GERIK: Empat penjawat awam di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Tanjung Malim antara 11 lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pemburuan haram di kawasan ladang kelapa sawit dekat Lata Kekabu, Lenggong di sini semalam.
Kesemua mereka berusia 13 tahun hingga 52 tahun itu diberkas dalam Op Khazanah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek yang ditemukan dalam kedaaan mencurigakan itu ditahan ketika hendak keluar dari kawasan berkenaan.
Menurut beliau, semasa ditahan, tiada senjata dijumpai bersama kumpulan itu kerana telah dileraikan dan disimpan di dalam beg.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mereka menjumpai dua laras senapang patah dan empat laras pemanah ikan serta beberapa peralatan untuk memburu.
“Siasatan mendapati senapang patah yang dirampas itu dalam milikan lelaki berusia 52 tahun namun dia mengaku tidak memiliki lesen senjata api yang sah, sebaliknya senjata itu dipinjam daripada rakan untuk memburu.
“Empat pemanah ikan yang dirampas itu didapati buatan sendiri yang dibuat bagi tujuan memanah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.
Menurut Mior Faridalathrash, semasa tangkapan dibuat, polis turut menjumpai tiga plastik putih mengandungi bahagian daging disyaki daging hidupan liar.
Katanya, rampasan daging itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Hulu Perak untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek masuk ke kebun kelapa sawit itu untuk berburu dan memanah ikan yang mana mereka akan bermalam di kawasan tersebut.
“Kumpulan itu juga didapati aktif berburu sejak dua bulan lalu,” katanya.
Menurut beliau, dua remaja berusia 13 tahun dan 16 tahun yang mengikut bapanya berusia 52 tahun serta seorang lagi berusia 18 tahun ditahan selama sehari dan dibebaskan dengan jaminan hari ini.
“Lapan lelaki lain pula direman empat hari mulai hari ini hingga Khamis depan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – UTUSAN ONLINE
KAPSYEN
MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan senapang patah yang dirampas setelah menahan 11 lelaki yang terlibat dalam kegiatan pemburuan haram di ladang kelapa sawit di Lata Kekabu di Lenggong semalam dalam sidang akhbar di IPD Gerik, Perak, hari ini.