BENTONG: Dua beradik antara empat yang maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan lori pengangkut kenderaan jenis Scania di Jalan Tras Bentong-Raub kira-kira pukul 3.43 pagi ini.
Mangsa yang maut, seorang guru, Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya Marlia, 36, yang merupakan kerani serta anak kepada Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd. Faizuddin, 9, dan anak saudara dua wanita berkenaan, Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa datang dari arah Kota Bharu menuju ke Banting, Selangor sebelum bertembung dengan kenderaan lain.
“Ketika kejadian kereta jenis Myvi itu membuat cubaan memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal lalu berlanggar dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat dari kejadian tersebut, dua mangsa iaitu Marlianna dan Marlia yang merupakan pemandu dan penumpang hadapan kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain dikejarkan ke hospial Bentong untuk menerima rawatan.
“Namun lebih kurang pukul 6.30 pagi tadi makluman dari hospital menyatakan dua kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, dalam kemalangan itu pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Ketika operasi, mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan manakala penumpang kanak-kanak berjaya dikeluarkan oleh anggota dengan bantuan orang awam dan seterusnya dibawa ke hospital.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit mengunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.