MELAKA: Pelbagai jenis peralatan menangkap ikan tidak berlesen digunakan nelayan bernilai RM32,000 disita Cawangan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Melaka dalam tiga serbuan sejak Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, kesemua peralatan itu dirampas setelah dikesan digunakan nelayan di sekitar perairan berhampiran Pulau Nangka dan Pulau Besar.
Beliau berkata, ia terdiri daripada 38 unit pukat tekap dan 50 unit jaring hanyut atau tagan.
“Kesemua peralatan yang disita hasil daripada tiga operasi dijalankan Cawangan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri pada 28 Januari, 3 Februari dan terbaharu pada 8 Mac lalu.
“Tindakan diambil di bawah Seksyen (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi pemantauan di sekitar perairan Melaka bersama Jabatan Perikanan negeri dan Polis Marin.
Menurut Norhizam Hassan, kesemua peralatan menangkap ikan tersebut dilupuskan selepas tempoh 30 hari sekiranya tiada sebarang tuntutan dibuat.
Sementara itu, kata beliau, dalam operasi yang dijalankan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari berkenaan, pihaknya turut mendapati beberapa lampu pandu arah ke pintu masuk jeti pengkalan nelayan atau ‘beacon’ tidak berfungsi.
“Sebelum ini, ada beberapa nelayan mengadukan kepada saya tentang masalah beacon tidak berfungsi sehingga mendatangkan bahaya kepada nelayan untuk memasuki pintu muara.
“Justeru, pada hari ini kita membuat pemantauan dan memang terdapat lampu di pintu masuk ke Jeti Nelayan Telok Gong dan juga di Jeti Nelayan Umbai/Pernu yang tidak berfungsi,” jelasnya.
Dalam tinjauan tersebut, Norhizam turut mendengar keluhan nelayan mengenai kewujudan kapal besar berlabuh dalam tempoh panjang di sekitar perairan sehingga menganggu aktiviti nelayan.
“Justeru, saya meminta agensi bertanggungjawab menjalankan siasatan dakwaan ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE