PETALING JAYA: Sebanyak 3,135 pegawai dan anggota dari Kontinjen Polis Kuala Lumpur menerima suntikan vaksin menerusi dua fasa.
Jumlah itu melibatkan polis dari Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta enam Ibu pejabat Polis (IPD) di bawah pentadbirannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, fasa pertama melibatkan pemberian vaksin dos pertama bagi tempoh 1 hingga 18 Mac ini.
Katanya, sebanyak 2,882 pegawai dan anggota dari IPK Kuala Lumpur serta lima IPD terlibat dalam fasa pertama ini.
“Secara purata, seramai 240 orang disuntik setiap hari di Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang.
“Selain itu, sebanyak 253 pegawai dan anggota lagi yang bertugas di IPD Putrajaya akan menerima vaksin dos pertama dalam tempoh itu di Klinik Kesihatan Presint 18,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kuala Lumpur di Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang dekat sini hari ini.
Saiful Azly berkata, suntikan dos kedua bagi 3,135 pegawai dan anggota polis berkenaan akan dilakukan di lokasi sama selepas 21 hari menerima suntikan dos pertama bermula 22 Mac hingga 4 April nanti.
Jelasnya, jumlah itu adalah daripada 8,800 pegawai dan anggota Kontinjen Kuala Lumpur.
“Mereka yang dipilih ini terdiri daripada pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan termasuk di lokasi sekatan jalan raya (SJR) serta pasukan pemantauan manakala selebihnya akan menerima vaksin dalam fasa kedua dan seterusnya.
“Mereka menerima suntikan dalam fasa itu akan diminta untuk melaporkan diri di IPK Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Kuarters Klinik Kesihatan Jinjang,” katanya.
Tambah Saiful Azly, terdapat empat lokasi yang menjadi tempat penyimpanan vaksin di ibu negara iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Klinik Kesihatan Titiwangsa, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Institut Kanser Negara.
Selain itu jelasnya, terdapat 11 lokasi di ibu kota ini yang menjadi pusat pemberian vaksin termasuk Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Titiwangsa, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Institut Jantung Negara (IJN).