3,000 jadi ahli KITARecycle di NS  - Utusan Malaysia

3,000 jadi ahli KITARecycle di NS 

TEO Kok Seong (tengah ) menampal pelekat maklumat KITARecycle pada tong samlah beroda di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Lebih 3,000 telah mendaftar sebagai ahli KITARecycle SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) yang bertujuan memberi kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai pelaksanaan pengasingan sisa di punca untuk  dikitar semula. 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, langkah pihaknya mengadakan aplikasi pendaftaran KITARecycle turut dilihat telah memberi pengetahuan kepada orang ramai tentang pengasingan sisa sebelum ia dikitar semula. 

“Sebanyak 3,000 orang yang telah mendaftar di negeri ini sahaja, kami juga memantau pertambahan ahli baharu pada setiap bulan. 

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami lihat pelbagai barang yang boleh dikitar semula dari rumah hasil belian secara dalam talian serta penghantaran makan dan menerusinya, kami telah meningkatkan kesedaran supaya masyarakat tidak membuang sisa sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Pelekat KITARecycle Tong Sampah Beroda yang disempurnakan oleh Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong di Pantai Saujana, Batu 4, dekat sini. 

Yang Hadir sama,  Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Sembilan (SWCorp), Muhammad Yusuf Ahmad serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd. Zamri Mohd. Esa. 

KITARecycle merupakan program pemberian mata ganjaran kepada ahli berdaftar yang melaksanakan pengasingan sisa di punca untuk di kitar semula yang boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai melalui pemindahan secara perbankan dalam talian ke dalam akaun ahli KITARecycle masing-masing. 

Dalam pada itu,  Mohd. Norlisam  berkata, pihaknya juga  mempergiatkan promosi program KITARecycle di pantai sekitar Port Dickson.

“Pihak kami telah menampal maklumat berkaitan pengasingan sisa dan kitar semula di Tong Sampah Beroda (TSB) yang diletakkan di pantai ini. Dengan cara ini, pengunjung pantai juga boleh mengasingkan sisa kitar semula ketika berkunjung ke sini,” katanya.

Jelasnya, sejumlah 191 TSB SWM Environment berkapasiti 120 liter yang berada di sekitar pantai Port Dickson di bawah seliaan SWM Environment diletakkan maklumat mengenai KITARecycle bagi mendidik orang ramai untuk melaksanakan amalan pengasingan sisa pepejal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN