PUTRAJAYA: Seramai 30 individu didapati bersalah dan didakwa di mahkamah seluruh negara berhubung penularan berita palsu mengenai wabak Covid-19 sehingga kini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 20 individu lagi dalam proses perbicaraan daripada sejumlah 50 kes yang sudah dibawa ke mahkamah.
“Namun, ada 12 kes yang hanya diberikan notis amaran manakala sebanyak 115 kes lagi masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Setakat semalam, beliau memaklumkan sebanyak 289 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pasukan Respons Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mengeluarkan sebanyak 432 penafian dan penjelasan ke atas berita terbabit.
Dalam pada itu, jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun drastik setelah naik dua hari berturutan.
Menurut Ismail Sabri, hanya 38 individu yang ditahan berbanding 181 individu pada kelmarin dan 100 individu dicekup pada Sabtu lalu.
“Daripada jumlah itu, 30 dikompaun manakala lapan direman dengan kesalahan tertinggi ialah gagal sedia alatan merekod butiran diri sebanyak 17 kes,” katanya.
Terdahulu beliau memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua rumah sewa di Bintulu, Sarawak tamat awal setelah hampir tiga minggu dilaksanakan.
Ia melibatkan penghuni Rumah Sewa Anong di Batu 5 dan Rumah Sewa Bevery Hills di Taman Beverly Hills.