3 wanita didenda RM2,000 terlibat aktiviti persundalan - Utusan Malaysia

3 wanita didenda RM2,000 terlibat aktiviti persundalan

TIGA wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan terlibat aktiviti persundalan, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga wanita termasuk dua ibu tunggal masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks, minggu lalu.

Dua tertuduh iaitu Nur Shamila Fakarozi, 22, dan Zawarni Zakaria, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam manakala seorang lagi, Hidayah Abdul Rahman, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan di sebuah rumah di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 3.45 petang pada 23 Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahril Ramli dan S. Gayathri.

Zawarni diwakili oleh peguam Mohd. Nazri Awang manakala Nur Shamila dan Hidayah pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan dan Ariayani Mohd. Aamin.

Ketiga-tiga peguam memohon hukuman denda yang rendah dikenakan kerana ini merupakan kesalahan pertama anak guam mereka.

Mohd. Nazri berkata, anak guamnya iaitu Zawarni tidak bekerja dan masih menetap bersama keluarga selain telah insaf dengan perbuatan itu.

Roshayati yang mewakili Nur Shamila pula berkata, anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan merupakan seorang ibu tunggal yang perlu menjaga anaknya yang berusia setahun tiga bulan.

Sementara itu, Ariayani memohon agar anak guamnya, Hidayah tidak dikenakan hukuman berat kerana merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

Majistret Mohamad Ibrahim memutuskan hukuman denda sebanyak RM2,000 selain penjara enam bulan kepada Zawarni dan dua bulan penjara terhadap Nur Shamila sekiranya mereka gagal membayar denda yang ditetapkan.

Bagi Hidayah pula, Majistret Mohd. Izuddin menetapkan hukuman denda RM2,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya