3 negeri PKPB akan jadi PKPP - Utusan Malaysia

3 negeri PKPB akan jadi PKPP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga negeri lagi bakal bertukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 19 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara negeri terlibat ialah Kedah, kecuali dua daerah iaitu Kuala Muda dan Kulim yang masih kekal status PKPB.

“Perak juga diubah kepada PKPP ekoran banyak zon merah sudah kurang manakala zon hijau bertambah menjadi 46 yang meliputi 78 mukim,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tidak ketinggalan ujar beliau ialah Negeri Sembilan, susulan kes turun begitu mendadak dengan merekodkan 67.2 peratus zon hijau, kecuali Daerah Seremban masih lagi zon merah.

Sementara itu beliau menambah, lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan kekal berstatus PKPB untuk tempoh dua minggu lalu sehingga 31 Mac depan, kerana banyak lagi zon merah.

Antaranya ialah Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang baru sahaja berubah statusnya daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKPB mulai 5 Mac lalu.

Turut kekal PKPB ialah Kelantan manakala kerajaan Sarawak pula akan melanjutkan PKPB di seluruh negeri yang terbesar di Malaysia itu bermula pada hari ini sehingga 29 Mac depan.

“Dalam pada itu, baki lima negeri lain serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan, juga mengekalkan status PKPP berkuat kuasa 19 Mac ini sehingga 31 Mac depan.

Ia ekoran tiada zon merah dengan zon hijau terus bertambah banyak kecuali di daerah Nabawan di Sabah yang masih berstatus PKP dan disambung dua minggu lagi mulai esok.

Namun, jelas Ismail Sabri, rentas negeri masih dilarang kecuali bagi aktiviti pelancongan daripada negeri berstatus PKPP ke PKPP lain dengan konsep gelembung perjalanan hijau.

Manakala rentas daerah dalam negeri yang sama tambah beliau, masih dibenarkan kecuali di Sabah dan Sarawak kekal menutup pergerakan antara daerah dalam negeri berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN