2,756 individu di Pulau Pinang sudah terima dos kedua vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

2,756 individu di Pulau Pinang sudah terima dos kedua vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 2,756 individu di negeri ini sudah menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech bagi mencegah jangkitan Covid-19, setakat kelmarin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 31,189 petugas barisan hadapan yang layak menerima vaksin itu bagi fasa pertama.

Jelas beliau, setakat kelmarin juga, hampir 30,000 individu dalam fasa pertama sudah menerima suntikan dos itu dengan bakinya akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Sementara itu, setakat semalam juga seramai 470,010 penduduk negeri ini sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin iaitu 33.9 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

“Pulau Pinang juga merupakan antara negeri tertinggi yang mana penduduknya mendaftar dan kita berharap kempen menggalakkan rakyat mendaftar akan dapat menarik lebih ramai rakyat berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, beliau difahamkan, kaedah pemberian vaksin itu mungkin akan dikaji di peringkat kerajaan Persekutuan yang mana pemberian vaksin bagi fasa dua dan tiga akan dilancarkan serentak.

Menerusinya, kata beliau, mereka yang berada di dalam kategori fasa dua atau tiga mungkin tidak perlu menunggu untuk mendapatkan vaksin sehingga semua individu di dalam kategori satu selesai berbuat demikian.

“Sebab itu sama ada kita berada di dalam fasa dua atau tiga, pendaftaran untuk mendapatkan vaksin itu adalah wajib.

“Ini kerana jika kerajaan Pusat mengubah pendekatan, mungkin individu yang berada di dalam kategori tiga boleh menerima vaksin lebih awal (sekiranya mereka mendaftar),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN