250 tapak bazar Ramadan habis ditempah - Utusan Malaysia

250 tapak bazar Ramadan habis ditempah

RASYDAN Zahir (kanan) dan Setiausaha Japerun Klebang, Kamaruddin Hussin menunjukkan tapak jualan but kereta yang akan dijadikan tapak Bazar Ramadan Mega Pantai Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bazar Ramadan Dataran 1Malaysia yang menjadi lokasi tumpuan di negeri ini akan berubah ke lokasi baru iaitu di sepanjang Pantai Klebang, dikenali sebagai Bazar Ramadan Mega Pantai Klebang bermula 13 April ini.

Bazar yang bakal menempatkan 250 peniaga dijangka memeriahkan kembali bulan puasa yang bermula bulan depan, selepas ia tidak diadakan akibat penularan wabak Covid-19 pada tahun lalu.

Pengurus Bazar Ramadan Mega Pantai Klebang, Rasydan Zahir berkata, sebanyak 250 tapak berniaga yang ditawarkan di kawasan tersebut telah habis ditempah sejak minggu lalu.

Beliau berkata, tapak bazar yang diselenggara oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Klebang dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mendapat sambutan menggalakkan.

“Sambutan dalam kalangan peniaga meningkat mendadak kerana mereka tidak dapat berniaga akibat penularan pandemik Covid-19 tahun lalu dan apabila kerajaan membenarkan bazar Ramadan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, ramai peniaga memohon tapak yang disediakan.

“Tidak sampai seminggu tapak habis ditempah, ini juga didorong oleh inisiatif kerajaan negeri
yang memperkenalkan kempen ‘Melaka Bebas Berniaga’ selama setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, bazar Ramadan dan Aidilfitri akan dibenarkan beroperasi.

Katanya, umat Islam di negara ini juga kembali dapat menunaikan ibadat solat sunat tarawih di masjid dan surau seluruh negara sepanjang Ramadan bermula bulan depan.

Rasydan menambah, penampilan bazar Ramadan kali ini jauh berbeza berbanding pada 2018 kerana orang ramai yang ingin memasuki kawasan tersebut perlu mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Jelasnya, seramai 15 anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) akan digunakan untuk memastikan setiap pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan serta dibantu oleh anggota penguatkuasa MBMB dan anggota polis.

“Di dua pintu masuk ke bazar ini kita akan menempatkan tiga anggota Rela yang akan membantu memastikan setiap pengunjung perlu mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau mendaftar di kaunter yang disediakan, pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka.

“Jika ada di antara pengunjung yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kita tidak akan membenarkan mereka untuk memasuki bazar,” ujarnya.

Pemilihan tempat baru itu bermula dari tapak peniaga jualan but kereta hingga ke Jebat Street, manakala peniaga di Downtown Klebang pula dipindahkan ke bazar berkenaan kerana tapak peniaga tersebut akan dijadikan tempat meletak kenderaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN