2,047 selesai suntikan dos di Selangor - Utusan Malaysia

2,047 selesai suntikan dos di Selangor

AMIRUDIN (tengah) meninjau SSOC di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 2,047 daripada 68,677 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negeri ini selepas dilancarkan sejak minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senarai penerima vaksin di negeri ini melibatkan petugas Kementerian Kesihatan, klinik dan hospital swasta, petugas barisan hadapan bukan kesihatan dan pemimpin utama negeri.

Menurutnya, sebanyak lapan hospital dan 30 klinik di negeri ini akan beroperasi bagi melaksanakan proses imunisasi dan vaksin untuk fasa awal.

“Selangor berada pada landasan tepat dan kita sememangnya memberi fokus untuk menyelesaikan fasa berkenaan terlebih dulu.

“Setakat ini, saya dan barisan pemimpin negeri yang menerima suntikan belum menunjukkan sebarang simptom dan semua yang menerima suntikan ini juga masih bergerak aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nor Azmie Diron.

Terdahulu, sebanyak 78,000 dos vaksin Pfizer-Biontech diterima kerajaan negeri dalam Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Selangor.

Dalam majlis tersebut, Amirudin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali antara 42 individu awal yang menerima suntikan vaksin berkenaan di negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, SSOC merupakan satu daripada 60 inisiatif Smart Selangor bagi infrastruktur asas dalam pengurusan sebuah negeri pintar menjelang tahun 2025.

“Pusat ini bakal menempatkan beberapa agensi penting antaranya berkaitan operasi harian seperti bas, kutipan sisa, keselamatan dan pengurusan bencana.

“Selain itu, SSOC berupaya memberi maklum balas dan maklumat terkini mengenai usaha menangani Covid-19 di Selangor,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya