SHAH ALAM: Dua dokumen berkenaan laporan perubatan berhubung kes rogol penceramah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan itu berkaitan pertuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian dalam sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rihaida Rafie hari ini.
Menurut Nor Baizura, dua dokumen itu adalah laporan perubatan dari Hospital Shah Alam dan Temerloh.
“Bagaimanapun, satu lagi dokumen laporan perubatan dari Hospital Kajang belum dapat diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, dalam prosiding tersebut, peguam, Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal mengesahkan menerima kesemua dokumen berkaitan.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mei hadapan untuk sebutan semula kes dan difahamkan pada tarikh itu juga, beberapa dokumen tambahan akan diserahkan.
Dalam perkembangan lain, selepas prosiding tersebut, Syed Shah Iqmal berkata, situasi berhubung kerjaya seninya yang dikaitkan dengan imej negatif agak sukar, namun, terpaksa diteruskan juga.
“Saya mesti jalani hidup macam biasa, buat perkongsian dengan peminat walaupun dengan keadaan macam ni.
“Walaupun sedih dan sebagainya , saya kena redha dan menyanyi macam biasa walaupun dengan imej negatif,” katanya.
Terdahulu, pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Pendakwah muda itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul mangsa yang sama di mahkamah sama.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober lalu di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.
Syed Shah Iqmal didakwa atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan mangsa serupa, pada waktu dan di tempat yang sama. -UTUSAN ONLINE