PETALING JAYA: Syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) masih mempunyai RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar dan salah satu daripadanya melibatkan bon denominasi dolar Amerika Syarikat yang bernilai USD3.5 bilion (RM14.7 bilion)
Lembaga Pengarah 1MDB dalam kenyataan memaklumkan, hutang tersebut mempunyai kadar kupon 5.75 peratus dan 5.99 peratus yang dijangka matang pada 2022 manakala bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai USD3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4 peratus pula akan matang pada 2023.
“Hutang terakhir 1MDB iaitu sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75 peratus matang pada tahun 2039. Jumlah keseluruhan bon atau sukuk termasuk bayaran prinsipal dan kupon atau keuntungan perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang adalah sebanyak RM40.51 bilion.
“Oleh demikian 1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon atau sukuk apabila matang kelak,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan sama memaklumkan, semua hasil diterima daripada usaha pengembalian aset termasuk penyelesaian akan datang atau telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset 1MDB yang diselenggara Jabatan Akauntan Negara.
Ujar kenyataan itu lagi, sebagaimana diumumkan Kementerian Kewangan sebelum ini, Kerajaan Malaysia telah menerima penyelesaian tunai bernilai USD2.5 bilion (RM10.37 bilion) daripada Goldman Sachs.
“Malah baru-baru ini, 1MDB juga telah berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad dan sebanyak RM324 juta dengan Deloitte.
“Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini termasuk penyelesaian akan datang atau telah dimasukkan ke dalam akaun amanah tersebut,” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa sama, kenyataan memaklumkan usaha mendapatkan semula aset-aset 1MDB merupakan keutamaan Lembaga Pengarah 1MDB dan justeru itu, Kementerian Kewangan menubuhkan pasukan khas dianggotai wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional.
Jelas kenyataan berkenaan, proses berkenaan juga melibatkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB di dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.
“Yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat selaras dengan kadar telah dirunding dan dipersetujui dan bukan berdasarkan komisen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperolehi,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE