19 nelayan Vietnam rompak 1.2 tan hasil laut negara ditahan - Utusan Malaysia

19 nelayan Vietnam rompak 1.2 tan hasil laut negara ditahan

SEBAHAGIAN daripada 19 nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh perairan dan mencuri hasil laut negara semalam.-UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua bot nelayan Vietnam yang sedang ligat ‘merompak’ hasil laut negara, masing-masing di lokasi 107 kilometer (km) dan 144 km dari Kuala Tok Bali, di sini, semalam.

Tangkapan itu turut melibatkan rampasan kira-kira 1.2 tan ikan pelbagai spesies serta 21,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan termasuk dua bot terbabit mencecah RM2.5 juta.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedua-dua bot itu ditahan dalam tempoh dua jam oleh Kapal Maritim (KM) Amanah yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Kelantan.

Menurutnya, bot pertama ditahan pada pukul 10.23 pagi bersama lima awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua ditahan pada pukul 12.19 tengah hari bersama 14 awak-awak termasuk tekong.

“Tekong dan awak-awak bot kedua cuba meloloskan diri, namun, berjaya ditahan selepas dikejar dalam tempoh lebih dua jam.

“Bot-bot dan kumpulan nelayan terbabit dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Tok Bali, namun, mengambil masa selama 22 jam untuk tiba berikutan keadaan laut bergelora serta angin kencang mencecah 60 kilometer sejam,” katanya.

Nur Syam Asmawie berkata, kesemua nelayan asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berusia di antara 16 hingga 60 tahun menjalani proses saringan Covid-19 sebelum ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya