177 warga emas RSK Bedong dipindah  - Utusan Malaysia

177 warga emas RSK Bedong dipindah 

HALIMATON Shaadiah Saad (tengah) mengibarkan bendera sempena sebagai tanda flag off kenderaan yang membawa baki warga emas ke RSK Seri Iskandar, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 177 warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong di sini telah dipindahkan ke 11 institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lain secara berperingkat bermula 17 Disember lalu sehingga ke hari ini.

Kumpulan terakhir terdiri daripada 71 penghuni dipindahkan ke RSK Seri Iskandar, Perak menggunakan dua buah bas, sebuah van dan empat ambulans dengan diiringi 33 kakitangan RSK Bedong, hari ini.

Selain RSK Seri Iskandar, penghuni turut ditempatkan beberapa institusi JKM lain di RSK Kangar, Perlis; RSK Taiping, Perak; RSK Kemumin, Kelantan, RSK Cheng, Melaka dan Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pemindahan penghuni terlibat ke institusi JKM lain adalah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula bangunan RSK Bedong di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurutnya, projek itu akan bermula pada April ini dengan peruntukan sebanyak RM30 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Proses merobohkan keseluruhan binaan asal di RSK Bedong ini akan dilakukan bermula April ini, diikuti projek pembinaan semula.

“Projek ini akan memberi impak terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada penghuni dengan kemudahan yang mesra warga emas serta lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Prihatin Santuni Warga Emas dan mengibarkan bendera sebagai tanda pelepasan kenderaan yang membawa baki warga emas ke RSK Seri Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Azmi Abdul Karim.

Kata beliau, bangunan baharu RSK Bedong nanti dapat memuatkan seramai 350 orang penghuni berbanding bangunan sekarang yang hanya boleh memuatkan seramai 250 orang penghuni sahaja.

Sementara itu, Penguasa RSK Bedong, Hariff Abu Hassan berkata, pihaknya berharap semua warga emas yang dipindahkan ke RSK lain dapat menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

Katanya, meskipun sedih kerana terpaksa berpisah dengan penghuni yang sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri, namun, pihaknya akur demi kebaikan semua pihak.

“Kita sudah anggap penghuni di sini seperti ibu bapa kita sendiri dan pastinya perpisahan ini mengundang rasa sedih untuk semua warga RSK Bedong,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penghuni RSK Bedong, Fatimah Mustafa, 73, yang berasal dari Perlis berkata, dia amat sedih kerana terpaksa berpisah dengan kakitangan RSK itu yang menjadi tempat dia menumpang kasih sejak empat tahun lalu.

Ibu kepada dua orang anak ini mendakwa, dia hidup sebatang kara selama ini selepas anak-anaknya enggan menjaganya dan terpaksa membawa diri sehingga dia ditangkap kerana mengemis di sekitar Pulau Pinang empat tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN