‘16 kerusi dibawa lari Bersatu itu kubu kuat UMNO’ - Utusan Malaysia

‘16 kerusi dibawa lari Bersatu itu kubu kuat UMNO’

HUSAM MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO menjadi parti paling rugi jika kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan mengalah dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam soal agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, antara fakta perlu diambil kira adalah hasrat Bersatu untuk mempertahan 16 kerusi Parlimen miliknya yang ‘dibawa lari’ daripada UMNO.

Kesemua 16 kerusi itu, kata beliau, bukan ‘biasa-biasa’, sebaliknya kubu kuat UMNO selama ini.

“Dalam pilihan raya lalu, kita dapat angka kekuatan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pas dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding tiga penjuru. Angka-angka ini solid, bukan unjuran dan bukan percubaan.

“Kemudian mereka yang menang tiket BN melompat masuk Bersatu. Ada 16 semuanya dan kawasan-kawasan ini kubu kuat UMNO. Saya yakin kalau diulangi tiga penjuru, dia (UMNO) masih boleh menang di situ,” katanya.

Beliau ditemui selepas turun padang menyantuni pemandu teksi dan kereta sewa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di samping menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mereka di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Husam membidas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor kerana menggelar pihak yang mencetuskan perbalahan antara UMNO dan Bersatu dalam PN sebagai ‘syaitan’.

Kata beliau, sebelum Muhammad Sanusi mahu bercakap tentang perpaduan ummah dan orang Melayu, Pas perlu berjiwa besar dengan menyerahkan kerusinya kepada UMNO sebagai ganti kerusi yang dibawa lari Bersatu.

“Kalau tidak mampu buat ini, maka kita masih mementingkan parti sendiri. Kalau Pas mementingkan parti dia, UMNO pun kena pentingkan parti sendiri.

“Dalam kes UMNO, dia kena teruk kerana kerusi dia telah diambil Bersatu. Muhammad Sanusi kena lebih praktikal, bukan tuduh orang ini syaitan, orang itu syaitan,” katanya.

Bekas Pengerusi PH Kelantan itu secara sinis turut meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melewat-lewatkan pembubaran Parlimen supaya PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat kerana negara masih diancam pandemik Covid-19.

“Siapa-siapa yang bubar Parlimen sekarang, dia adalah penjahat pada rakyat. Negara kita dalam keadaan pandemik. Kalau Tan Sri Muhyiddin nak bubar (Parlimen) sekarang, dia boleh dianggap penjenayah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya