PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan penurunan kes positif di bawah 2,000 iaitu 1,555 kes manakala kes sembuh kekal tinggi iaitu 2,528 kes.
Hanya tujuh kluster dan enam kematian direkodkan manakala kes aktif menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 24,563 kes berbanding semalam, sebanyak 25,542 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 204 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 96 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor kembali mencatatkan kes tertinggi iaitu 672 kes diikuti diikuti Johor, 163 kes; Sarawak, 159 kes; Kuala Lumpur, 145 kes; Negeri Sembilan, 115 kes; Pulau Pinang, 106 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Perak, 63 kes; Sabah, 53 kes; Kelantan, 46 kes serta Melaka dan Kedah, masing-masing 11 kes manakala Terengganu, tujuh kes; Pahang, tiga kes; Putrajaya, satu kes; Perlis, satu kes dan Labuan, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian melibatkan tiga kes di Selangor manakala Sabah, Kuala Lumpur, dan Perak, masing-masing satu kes yang merekodkan lima warga tempatan dan satu warga asing.
Katanya, kes melibatkan empat lelaki termasuk seorang warga asing dan dua wanita berusia antara 44 hingga 80 tahun.
“Hanya dua kes iaitu lelaki berusia 80 tahun di Kuala Lumpur dan seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun di Perak tidak mempunyai latar belakang penyakit.
“Empat kes mempunyai latar belakang penyakit seperti jantung,buah pinggang kronik, kanser tiroid, kencing manis, darah tinggi, asma, dislipidemia dan kanser pankreas,” katanya.
Mengulas mengenai tujuh kluster, beliau berkata, enam melibatkan tempat kerja dengan tiga di Selangor, dua di Johor dan satu, Pulau Pinang manakala Negeri Sembilan, merekodkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Katanya, tiga di Selangor ialah Kluster Taman Alam di Petaling, sebanyak 23 kes dari 171 individu kluster serta Kluster Jalan Mawar di Hulu Langat, sebanyak 10 kes dari 72 individu dan Kluster Sementa 27 melibatkan Petaling, Klang, Kuala Selangor, dan Kuala Langat, sebanyak 13 kes dari 86 individu.
“Johor pula, Kluster Jalan DPB Enam di Johor Bahru, sebanyak 36 kes dari 80 individu dan Kluster Jalan Cyber Satu melibatkan Kulai dan Kota Tinggi, sebanyak sembilan kes dari 63 individu.
“Pulau Pinang yang turut mempunyai kluster tempat kerja iaitu Kluster Persiaran Bayan Indah melibatkan Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, dan Seberang Perai Tengah, sebanyak 25 kes dari 83 individu manakala Negeri Sembilan merekodkan kluster kumpulan berisiko tinggi, Kluster Jalan Bukit Blossoms di Seremban , sebanyak 18 kes dari 40 individu,” katanya. – UTUSAN ONLINE