KUALA TERENGGANU: Aktiviti merentas negeri kerana menghadiri pengebumian datuk menyebabkan 15 individu disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kes terbaharu hari ini melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang pulang ke kampung halaman di Terengganu.
Katanya, lebih mengejutkan apabila ada dalam kalangan keluarga berkenaan yang bergejala, namun masih pulang ke kampung.
“Apabila ada kematian, kebiasaannya ada majlis tahlil yang melibatkan keluarga berkumpul agak ramai kira-kira 45 orang, dan akhirnya 15 daripada mereka disahkan positif Covid-19.
“Dalam keluarga ini ada yang bergejala sekali gus menyebabkan jangkitan sangat tinggi, sepatutnya tangguhkan dahulu kepulangan atau patuh prosedur operasi standar (SOP) sepenuhnya,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook di sini hari ini.
Terengganu hari ini merekodkan 22 kes baharu Covid-19 membabitkan daerah Kuala Terengganu, menjadikan keseluruhan 110 kes yang dirawat di seluruh negeri.
Nor Azimi berkata, sebelum ini terdapat kes di Besut membabitkan lima ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 termasuk seorang nenek berusia 100 tahun hingga menyebabkan wanita sakit tua itu meninggal dunia.
Katanya, kejadian itu berpunca daripada aktiviti pulang ke kampung oleh beberapa ahli keluarga dari Kuantan, Pahang bagi menziarahi nenek berkenaan.
Sehubungan itu, Nor Azimi mengharapkan kerjasama rakyat agar mengambil iktibar daripada kisah-kisah berkenaan dengan mengelak sebarang aktiviti kekeluargaan yang memerlukan berkumpul beramai-ramai.
“Kita sudah melalui pandemik Covid-19 lebih dari setahun dan apabila banyak kes baharu, maka proses mengesan kontak rapat yang ramai akan bermula lagi.
“Bukan tidak boleh pulang menziarahi ahli keluarga yang meninggal atau atas sebab lain tetapi baliklah dengan berhati-hati dan patuh SOP sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE