133 murid sekolah terima cermin mata - Utusan Malaysia

133 murid sekolah terima cermin mata

SALAH seorang murid menjalani pemeriksaan sebelum menerima sumbangan cermin mata daripada YSIJ dengan kerjasama Season Optical di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 133 murid sekolah rendah dari seluruh daerah ini menerima bantuan cermin mata menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Season Optical. 

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mata dijalankan di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, di sini membabitkan penerima yang terdiri daripada keluarga dalam golongan berpendapatan rendah B40.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini bertitah, YSIJ bekerjasama dengan Season Optical untuk menyampaikan sumbangan cermin mata kepada 2,500 murid sekolah di seluruh Johor dengan peruntukan berjumlah RM500,000.

Turut hadir dalam program pemeriksaan mata berkenaan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Timbalan Pengarah Pendidikan Johor (Sektor Pembangunan Murid), Omar Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Season Optical, Daniel Lor pula memberitahu, penyampaian bantuan cermin mata itu akan dilakukan secara berperingkat dengan mengambil tempoh masa setahun. 

“Bingkai cermin mata yang diberikan kepada penerima bantuan juga merupakan bingkai yang cukup berkualiti. 

“Fasa pertama ini melibatkan jumlah penerima seramai 133 orang, di mana pemeriksaan mata akan dijalankan pada hari ini dan esok,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN