SEREMBAN: Seramai 120 perwakilan sayap UMNO di Negeri Sembilan menghadiri Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri parti itu yang diadakan secara maya di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Mustafa Salim berkata, kesemua mereka masing-masing 40 orang dari ketiga-tiga sayap yang mewakili lapan bahagian UMNO di negeri ini.
“Setakat ini perhimpunan secara maya berjalan dengan baik tanpa ada masalah. Kita telah buat keputusan untuk mengumpulkan semua perwakilan daripada setiap bahagian di sini berbanding dijalankan di bahagian-bahagian.
“Kita melihat ada di bahagian yang mengalami capaian internet yang lemah jadi dicadangkan supaya ia dijalankan di sin dan telah dipersetujui di peringkat Perhubungan UMNO negeri. Nampak ia lebih mudah malah dapat mengukuhkan hubungan sayap-sayap parti di antara bahagian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, kata Mustafa, untuk acara Perasmian Perhimpunan Agung UMNO esok, seramai 64 perwakilan daripada lapan bahagian juga berkumpul di lokasi yang sama untuk mengikuti majlis tersebut secara maya.
“Ia melibatkan seorang setiausaha UMNO bahagian dan tujuh orang perwakilan (G7) yang terpilih dari lapan bahagian di negeri ini.
“Setakat ini walaupun nampak suasananya yang berbeza berbanding kemeriahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), namun semangat ahli parti di peringkat akar umbi tetap tinggi demi perjuangan bersama parti,” katanya.
Jelas beliau, perhimpunan secara maya tetap berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan malah ia turut juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE