KLUANG: Seramai 12 murid di Simpang Renggam tercicir dalam pelajaran agama Islam lebih setahun yang lalu selepas khidmat seorang ustazah yang ditugaskan mengajar mereka ditarik.
Ustazah berkenaan sebelum ini terpaksa berulang-alik kira-kira 15 kilometer setiap hari dari Sekolah Agama (SA) Seri Tengah Renggam ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Tun Dr Ismail di Simpang Renggam di sini.
Hal itu kerana SK Ladang Tun Dr Ismail dijadikan sekolah agama tumpang bagi murid berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (SK) Ladang Tun Dr Ismail, Siti Hairunafiah Mohd. Salleh berkata, pihaknya simpati dan terharu dengan pengorbanan ustazah berkenaan.
Katanya, setiap hari ustazah berkenaan datang mengajar murid Tahun 1 hingga 3 dari jam 2 hingga 3.30 petang dan selepas itu bergegas membawa enam murid Tahun 4,5, dan 6 ke SA Seri Tengah untuk belajar di sana.
“Tamat belajar, ustazah berkenaan berpatah balik menghantar enam murid berkenaan di pos masuk ke Ladang Tun Dr Ismail sebelum pulang ke rumahnya. Kami sangat berterima kasih dan terharu dengan kesanggupan ustazah berkenaan berkorban masa, tenaga dan wang ringgitnya untuk anak-anak di sini.
“Namun sejak setahun lebih, ustazah berkenaan diminta kekal mengajar di SA Seri Tengah sekali gus menyebabkan 12 murid yang menumpang belajar di SK Ladang Tun Dr Ismail, tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, pihaknya sudah mengajukan masalah berkenaan kepada pihak berkuasa namun tidak mendapat penyelesaian memuaskan.
“Kami sudah membuat aduan termasuk menghantar surat sokongan daripada pihak berkenaan namun hal ini masih tidak selesai.
“Kami sebagai ibu bapa sedih melihat keadaan ini kerana dalam kalangan kami bukannya orang senang yang boleh mengupah pemandu mengambil anak anak di SK Tun Dr Ismail untuk belajar di SA Seri Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi berkata, pihaknya akan berhubung dengan jabatan kerajaan berkaitan bagi merujuk kes itu dan meminta pihak berkenaan memandang isu itu secara serius.
“Kita tidak mahu 12 murid ini terus keciciran dalam mata pelajaran apatah lagi dalam pendidikan agama Islam dan hal ini tidak wajar berlaku.
“Kita mahu membawa perkara ini ke tengah dan berharap usaha ini akan membuahkan hasil,” katanya. – UTUSAN ONLINE