11 lelaki mengaku salah ceroboh hutan simpan - Utusan Malaysia

11 lelaki mengaku salah ceroboh hutan simpan

SERAMAI 11 individu yang dituduh memasuki Hutan Simpan Koh Moi, Kubang Pasu tanpa permit dibawa ke Mahkamah Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki tempatan bersama 10 warga Thailand dan Indonesia dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memasuki Hutan Simpan Koh Moi, Kubang Pasu dekat sini tanpa permit, bulan lalu.

Tertuduh terdiri daripada lelaki tempatan, Suhaimi Saad, 27, dan sembilan lelaki Thailand iaitu Abdul Rahman Asam, 40, Abdul Paatah Yama, 22, Abdunhalim Ahmad, 23, Alias Jusoh, 19, Haziq Jusuh, 38, Mah Yoo Soh Jehsoh, 44, Nathawut Kuwanth, 19; Nuradin Abdul Rahman, 18, serta Ruskee Masae, 28.

Seorang lagi tertuduh ialah Jasrika Putra, 36, yang merupakan warga Indonesia.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Lelaki tempatan membayar denda ditetapkan manakala kesemua warga asing gagal berbuat demikian.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi tanpa memiliki permit masuk ke hutan simpan kekal (borang 6) kira-kira pukul 4.30 pagi, 20 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut subseksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang diterima pakai oleh negeri Kedah di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 47(4) enakmen sama dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut fakta kes, kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggota tentera darat yang menjalankan tugas serang dan tangkap (Serkap) di lokasi dan tarikh tersebut.

Pemeriksaan lanjut menemui 21 guni plastik berwarna putih mengandungi balutan plastik lut sinar berikat gelang getah disyaki daun ketum dengan berat kira-kira 923 kilogram berhampiran kesemua tertuduh.

Selain itu, 11 motosikal turut ditemui bersama mereka dengan enam daripadanya menggunakan nombor pendaftaran Thailand manakala lima lagi tidak memiliki nombor pendaftaran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan sementara semua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN