11.7 juta penduduk sudah dibanci - Utusan Malaysia

11.7 juta penduduk sudah dibanci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 11.7 juta atau 36 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini selesai dibanci meliputi 3.9 juta tempat kediaman.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2.1 juta penduduk mendaftar melalui e-Census manakala 322,000 masih belum selesai menjawab secara dalam talian itu setakat tempoh sehingga semalam.

Menurut beliau, operasi bersemuka Banci Malaysia 2020 telah dijalankan secara bersasar di kawasan terpilih sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan diteruskan sehingga 30 Jun ini dalam memastikan semua penduduk dibanci.

“Pembancian dalam talian (e-Census dan CATI) sebanyak 59.3 peratus dan secara bersemuka sebanyak 40.7 peratus.

“Operasi Banci Malaysia 2020 di lapangan ini dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard – Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 tertakluk kepada arahan berkaitan PKP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa,” katanya menerusi Facebook Live Status Banci Malaysia 2020 secara bersemuka dan dalam talian, hari ini.

Menurut Mohd. Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, beliau menyeru orang ramai melengkapkan pengisian maklumat e-Census dengan kadar segera memandangkan platform dalam talian itu juga dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Justeru, katanya, penduduk masih ada pilihan untuk menjawab Banci Malaysia 2020 sama ada secara bersemuka atau e-Census.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan respons terkini Banci Malaysia 2020, empat negeri mencatatkan bilangan penduduk tertinggi iaitu Putrajaya (96.2 peratus), Johor (53.4 peratus), Perak (51.2 peratus) dan Perlis (49.6 peratus).

Katanya, negeri yang terendah pula ialah Sabah (14.3 peratus), Labuan (20.2 peratus) dan Sarawak (21.7 peratus).

Beliau memberitahu, selebihnya ialah Melaka (44 peratus), Kelantan (43 peratus), Pulau Pinang (42.3 peratus), Negeri Sembilan (41.7 peratus), Terengganu (41.4 peratus), Selangor (34.4 peratus), Kedah (33.1 peratus), Kuala Lumpur (32.7 peratus) dan Pahang (26.4 peratus).

“Daripada dapatan 11.7 juta penduduk yang direkodkan ini, warganegara Malaysia mencatatkan 97.4 peratus berbanding bukan warganegara (2.6 peratus).

“Penduduk tertinggi mengikut etnik adalah Melayu sebanyak 61.4 peratus, diikuti Cina (24.3 peratus), Bumiputera lain (7.4 peratus), India (6.2 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus) dengan meliputi peratusan sama banyak 50 peratus mengikut jantina,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, maklumat bancian itu akan menjadi sumber utama bagi membantu kerajaan untuk perancangan dan penggubalan dasar antaranya berkaitan kemudahan pendidikan, keselamatan, kesihatan dan infrastuktur dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat pada masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, semua penduduk diseru untuk menjayakan Banci Malaysia 2020 dalam memastikan tiada yang ketinggalan demi masa depan bersama memandangkan kejayaan negara dan kesejahteraan hidup yang dinikmati pada hari ini adalah hasil penyaluran maklumat penduduk daripada banci-banci terdahulu.

Sementara itu, beliau berkata, pembancian bersemuka yang dijalankan pada ketika ini juga memerlukan bilangan pembanci mencukupi agar pembancian dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Kepada orang awam yang berminat untuk menjadi pembanci boleh menghubungi Jabatan Perangkaan Malaysia di negeri masing-masing.

“Seramai 6,500 orang yang telah menjadi pembanci dan pengambilan ini telah memberi peluang pekerjaan kepada yang masih belum bekerja,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada semua penduduk memberikan kerjasama kepada pembanci yang mana mereka menghadapi pelbagai halangan untuk mendapatkan data seperti keadaan cuaca, persekitaran, peraturan kawasan dan lain-lain. – ONLINE DONE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN