1,000 rumah, satu KRT - Utusan Malaysia

1,000 rumah, satu KRT

HALIMAH Mohamed Sadique (tiga dari kiri) menyaksikan Sulaiman Md. Ali (dua dari kanan) merasmikan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan KRT negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pindaan yang dilakukan terhadap syarat-syarat penubuhan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) pada tahun ini telah membolehkan badan kesukarelawan itu ditubuhkan hanya melibatkan 1,000 buah rumah di satu-satu kawasan penempatan, berbanding 1,500 buah rumah sebelum ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia dilakukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan komuniti setempat melalui Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM50 juta khusus untuk KRT seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat sebanyak 8,274 KRT di Malaysia dan pihaknya menyasarkan lebih banyak penubuhan memandangkan pelbagai kelonggaran telah diberi dan ia juga tidak terikat dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Kalau dulu setiap 1,500 rumah yang ada dalam satu-satu kawasan penempatan kediaman, terutama dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), 1,500 bersamaan satu KRT. Terlalu besar, jadi kali ini kita kecilkan sedikit setiap 1,000 rumah satu KRT.

“Setiap satu KRT mesti ada satu Skim Rondaan Sukarela (SRS). Kalau ada permohonan daripada masyarakat tempatan, buat sahaja permohonan kepada Pegawai Perpaduan Daerah.

“Dan kita akan bantu untuk mewujudkan KRT baru dan kelulusan hanya diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di peringkat pusat, bukan melalui ROS dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan KRT peringkat negeri di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Sebanyak RM1.494 juta dana akan disalurkan kepada 249 KRT yang aktif di seluruh negeri ini dalam bentuk geran bernilai RM6,000.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga prihatin dan telah memperuntukkan insentif sebanyak RM179,000 kepada KRT, yang mana RM1,000 diberikan kepada setiap SRS yang aktif di Melaka.

Beliau berkata, kesemua symbolic action dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 juga adalah selari dengan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

“Ia bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur.

“Di bawah Pelan Pemerkasaan Kepimpinan KRT yang dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara, saya percaya peranan dan fungsi KRT dapat dipertingkat dan diperkukuh khususnya di Melaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya