10 tahun tunggu rumah impian - Utusan Malaysia

10 tahun tunggu rumah impian

MOHD. SHAHAR Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan pelan dan reka bentuk rumah RMR kepada peserta skim berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas menunggu lebih 10 tahun, impian penyelia ladang di sini untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Lebih menggembirakan, permohonan Suhaimi Abdul Karim untuk pembinaan rumah di Kampung Pancing di sini di bawah skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diluluskan sewaktu ulang tahun kelahirannya yang ke-54.

Menurutnya, dia yakin program RMR akan dilaksanakan mengikut jadual pada kali ini selepas hasrat memiliki rumah sendiri gagal kira-kira empat tahun lalu kerana masalah dengan kontraktor.

“Alhamdulillah, saya anggap kelulusan untuk memiliki rumah sendiri di bawah skim RMR ini sebagai hadiah hari jadi saya yang cukup bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan 46 inden kerja bernilai RM3.2 juta yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah di Dewan Orang Ramai Sungai Lembing.

Sehingga kini, terdapat 128 unit RMR siap dibina di kawasan Parlimen Paya Besar melibatkan subsidi kerajaan sebanyak RM2.56 juta untuk rumah yang dianggarkan berharga RM75,000 sebuah.

Setelah rumah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik untuk didiami, semua penerima RMR diminta membayar ansuran bulanan pinjaman pembiayaan mengikut jadual agar dapat memperluaskan skim itu kepada pemohon baharu di lokasi lain.

Suhaimi berkata, dia bersama keluarganya kini menetap di rumah kuarters yang disediakan majikannya dan begitu berharap untuk memiliki rumah sendiri.

“Memang sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, permohonan sebelum ini berdepan masalah dan saya tidak pernah berputus asa.

“Ahli Parlimen (Mohd. Shahar) juga memberikan komitmen untuk memastikan kontraktor dapat memulakan kerja dengan segera supaya projek itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN