1.4 juta gagal lengkapkan maklumat menerusi MySejahtera - Utusan Malaysia

1.4 juta gagal lengkapkan maklumat menerusi MySejahtera

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1.4 juta individu yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 didapati tidak melengkapkan pendaftaran mereka secara sepenuhnya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, justeru, mereka diminta tampil berbuat demikian bagi memudahkan urusan khususnya dalam temujanji melibatkan pusat pemberian vaksin yang berhampiran.

Katanya, pemberian tarikh temu janji tidak dapat dinyatakan selagi maklumat data lengkap tidak diisi seperti menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat terkini masing-masing.

“Kami difahamkan, mereka hanya mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan tetapi tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat masing-masing, menyebabkan pendaftaran mereka tidak lengkap.

“Alamat ini penting dimasukkan kerana kita akan beri temujanji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran dengan alamat yang dimasukkan semasa pendaftaran. Kita tidak ambil alamat pada kad pengenalan kerana ramai yang tidak duduk di alamat seperti dalam kad pengenalan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di sini hari ini.

Khairy berkata, pihaknya akan menghantar peringatan kepada kumpulan tersebut menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bermula petang ini.

“Kita telah minta MySejahtera untuk kesan mereka yang gagal melengkapkan maklumat seperti yang dikehendaki dalam aplikasi itu dan menghantar SMS sebagai peringatan agar mereka mengemaskini maklumat masing-masing bermula petang ini.

“Kami berharap agar mereka yang masih belum berbuat demikian untuk terus melengkapkan maklumat berkenaan bagi memudahkan proses pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 5,534,114 membuat pendaftaran melalui MySejahtera, dengan sejumlah 404,399 pula membuat pendaftaran melalui laman web dan pusat panggilan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kira-kira 200,000 daripada jumlah itu akan dimasukkan dalam MySejahtera kerana berlaku pertindihan pendaftaran.

“Mengikut ratio jumlah pendaftaran dengan sasaran penduduk, ia meliputi 22.8 peratus daripada populasi negara.

“Bilangan temu janji yang kita keluarkan pada fasa pertama pula ialah sebanyak 391,877 temu janji,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya