'Zamri' kaut RM20,000 tipu jurutera - Utusan Malaysia

‘Zamri’ kaut RM20,000 tipu jurutera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang jurutera mengalami kerugian RM20,000 setelah diperdaya seorang lelaki menyamar sebagai rakannya bernama Zamri yang terdesak mahu meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 56 tahun dan bekerja di Kulim menerima mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada suspek yang mahu meminjam wang sebanyak RM5,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Jalan Pegawai di sini pada pukul 8.35 malam semalam.

“Mangsa yang tidak membuat semakan terlebih dahulu membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza secara perbankan internet dengan jumlah keseluruhan RM20,000.

“Mangsa rasa curiga dan mula sedar tertipu apabila suspek terus meminta dia membuat pindahan wang. Mangsa menghubungi rakannya yang sebenar dan rakannya itu menafikan dia meminjam wang daripadanya,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, rakan mangsa juga memaklumkan akaun WhatsApp miliknya digodam setelah dia menyerahkan nombor kod aplikasi tersebut kepada satu nombor yang tidak dikenali.

Tambahnya, suspek juga kemungkinan menggunakan gambar keluarga atau kenalan untuk menipu.

“Mangsa membuat satu laporan polis dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya.

Elias memberitahu, jumlah rekod kes ditipu kenalan sendiri sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 25 kes melibatkan kerugian RM100,216.

“Bagi Januari dan Februari tahun ini, kes yang sama adalah sebanyak 11 kes dengan kerugian kira-kira RM49,935.

“Ini menunjukkan peningkatan yang sangat ketara bagi dua bulan pertama tahun ini,” katanya.

Tegasnya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan panggilan atau WhatApps daripada mereka yang tidak dikenali mendakwa keluarga atau rakan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya