JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bersama syarikat cermin mata, Season Optical menjalinkan kerjasama menghulurkan bantuan cermin mata bernilai RM500,000 kepada 2,500 murid sekolah di seluruh Johor.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pihaknya mengalu-alukan jalinan kerjasama antara swasta dengan YSIJ dalam usaha menyantuni golongan memerlukan.
Titah baginda, segala bentuk bantuan yang dapat meringankan beban amat dialu-alukan apatah lagi dengan situasi pandemik Covid-19 yang dihadapi sejak tahun lalu.
“Saya berterima kasih kepada syarikat ini yang tampil untuk bekerjasama dengan yayasan saya dan membantu rakyat dengan cara mereka tersendiri,” titah baginda melalui laman Facebook rasmi di sini, hari ini.
Sumbangan cermin mata itu akan diagih menggunakan sebuah lori khas yang akan mengunjungi setiap daerah dan melakukan pemeriksaan mata terhadap murid-murid yang memerlukan dengan kerjasama pihak sekolah.
Sultan Ibrahim turut berkenan meninjau dan memeriksa sendiri lori khas berkenaan di pekarangan Istana Flintstones, Mersing, dekat sini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili serta Ketua Pegawai Eksekutif Season Optical, Calvin Chung.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap Pengarah Urusan Eco-Shop Marketing, Datuk Sri Lee Kar Whatt dan Pengarah Eksekutif Lionmas Furnishers, Gan Cheng Swee yang merupakan antara penyumbang kepada membantu usaha YSIJ menyantuni rakyat memerlukan. -UTUSAN ONLINE