KUALA TERENGGANU: Yayasan Petronas hari ini membawa keceriaan kepada 700 keluarga berbangsa Tionghoa di Pantai Timur menerusi pemberian bantuan barangan keperluan asas bernilai RM100.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, inisiatif di bawah program tradisi tahunan Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2021 itu bertujuan meringankan beban golongan sasar dalam membuat persediaan hari perayaan sekali gus menambah kegembiraan mereka.
Katanya, bantuan membabitkan seramai 350 keluarga di Kuantan, Pahang di samping 200 keluarga di tiga jajahan di Kelantan manakala di Dungun, Terengganu (150 keluarga).
“Sumbangan ini merupakan antara komitmen berterusan Petronas dalam membantu golongan kurang berkemampuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Semoga bantuan diberikan dapat membangkitkan perasaan kasih sayang dan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Ahmad Tarmizi, para penerima turut diberikan sekotak pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
Katanya, sejak 2005, Petronas komited melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat termasuk program Sentuhan Kasih yang diadakan setiap kali perayaan utama di Malaysia. – UTUSAN