KUALA LUMPUR: Pengurus Andi Bernadee, Nasir Deraman mendedahkan individu yang menghantar santau kepada penyanyi popular itu dipercayai seorang wanita berdasarkan rujukan pengamal perubatan Islam.
Nasir berkata, Andi ketika ini dalam keadaan stabil namun adakalanya perilaku dia akan seperti lain daripada kebiasaan dan mula bercakap kosong seperti ‘khayal’.
“Andi akan menjalani rawatan selama tiga hari dan saya mohon agar semua pihak mendoakan kesembuhan penyanyi itu. Saya pun tidak pasti sebab dia disihir tetapi mungkin seorang wanita.
“Kita tak mahu merujuk kepada mana-mana individu dan sekarang kita harap supaya dia segera sembuh seperti sedia kala. Buat masa ini memang dia sukar untuk memberi penjelasan atau ditemu bual,”
katanya kepada Utusan Malaysia.
Andi menerusi Instagramnya mendedahkan dia telah diserang penyakit misteri dipercayai disihir apabila menemukan bangkai katak kering serta muntah paku berkarat selepas berubat.
Jelas penyanyi itu, ini bukan kali pertama dia ‘dihantar’ ilmu hitam apabila pernah terjumpa ‘benda kotor’ dalam makanannya.
Sementara itu berkongsi pengalaman, jelas Nasir, Andi mula berubah kelakuan beberapa minggu sebelum ini dan rakan-rakan mula sedar dengan perubahan penyanyi itu yang tidak seperti biasa.
“Semalam pun ada seorang, rakan datang berjumpa dia dan sedihnya, Andi sudah tidak kenal dan lupa. Saya secara peribadi turut bersedih dengan keadaan Andi tetapi kita tahu dia kuat,” katanya.