PUTRAJAYA: Kerajaan dalam proses akhir menggubal akta yang khusus bagi menyekat cubaan pihak tertentu memurtadkan akidah umat Islam di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia antara keutamaan kerajaan dalam memperkasakan perundangan syariah.
“Hampir semua negeri di Malaysia sudah mempunyai enakmen sedemikian yang digubal dan berdasarkan punca kuasa kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sebagai merujuk penyebaran video memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan wanita Islam.
Polis Johor bagaimanapun sedang menyiasat kes suspek berusia 29 tahun yang tinggal di Johor Bahru itu di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Ketika ini, hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum ada enakmen bagi halang usaha memurtadkan umat Islam di negeri tersebut.
Zulkifli berkata, beliau memandang serius isu itu dan meminta orang ramai agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya.
“Penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam tertakluk Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” tegas beliau.
Fasal itu jelasnya, memberi kuasa kepada pihak negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal kes murtad termasuk mengekang sebarang cubaan dalam apa jua cara sekalipun.