HULU TERENGGANU: Warga emas di Kampung Padang Setar di sini terpaksa tidur di kebun bagi memastikan tanaman kelapa pandan miliknya tidak terus dimusnahkan beruang.
Mohamad@Mamat khalid, 74, berkata, kehadiran haiwan liar yang dikesan sejak awal bulan lalu menyebabkan hampir 30 anak pokok kelapanya rosak dengan kerugian dianggarkan mencecah RM500.
Lebih membimbangkan, katanya, apabila beruang itu semakin berani berkeliaran di sekitar kawasan rumah, bahkan, beberapa kali bertembung dengan haiwan liar tersebut.
“Keputusan tidur di kebun sejak dua minggu lalu bagi menghalang ancaman beruang tetapi tanpa disedari ia tetap datang dan terbaharu pada malam Jumaat lalu, lima anak pokok kelapa rosak.
“Walaupun bimbang dengan keselamatan diri, tetapi, keputusan tidur di kebun adalah yang terbaik buat masa ini daripada saya terus menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Mohamad@Mamat, kebun seluas kira-kira 0.8 hektar dengan 200 batang pokok kelapa yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu pertama kali diserang beruang.
Dia tidak menolak kemungkinan beruang itu merupakan haiwan sama yang pernah berkeliaran di Kampung Hulu Sat yang terletak bersebelahan.
Bagaimanapun, katanya, kejadian itu akan segera dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE