Warga emas halalkan wang RM4,000 yang diragut - Utusan Malaysia

Warga emas halalkan wang RM4,000 yang diragut

A. ASMADI Abdul Aziz (kiri) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan bayi kepada pasangan warga emas, Salmah Hashim (dua dari kanan) dan suaminya, Sa-Ismail Kulop Yabidin di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Remaja lelaki berusia 20 tahun ditahan polis setelah empat hari diburu selepas meragut beg tangan seorang warga emas yang berisi wang tunai RM4,000 di sini pada Isnin lalu.

Dia yang bekerja di sebuah kedai menjual perkakasan besi di Jelapang dekat sini dicekup polis pada pukul 7 petang semalam setelah identitinya berjaya dikenal pasti.

Duit diragut itu dikeluarkan oleh mangsa dari sebuah bank pada minggu lalu untuk dihadiahkan kepada dua cucunya yang baru dilahirkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bagaimana pun, wang tersebut telah habis dibelanjakan remaja berkenaan yang mengaku digunakan untuk membeli dadah dan membelanja rakan-rakannya.

Menurut beliau, rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian berjaya mengesan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang suspek.

“Hasil semakan polis telah mengesan pemilik motosikal berkenaan yang membawa kepada penangkapan suspek tersebut.

“Suspek menggunakan motosikal jenis Honda EX5 milik rakannya untuk melakukan jenayah tersebut.

“Semakan pula mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk enam berkaitan kesalahan dadah. Dia kini direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Asmadi menziarahi kedua-dua warga emas mangsa ragut iaitu Salmah Hashim, 73, dan suaminya, Sa-Ismail Kulop Yabidin, 77, di kediaman mereka di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini.

Dalam kunjungan itu, beliau mewakili warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan bayi dan alat permainan kanak-kanak kepada cucu warga emas tersebut.

Menurut Asmadi, sumbangan kecil itu sebagai sagu hati berikutan wang yang diragut itu hendak digunakan mangsa untuk cucunya.

Sementara itu, Salmah memberitahu, dia dan suaminya telah memaafkan tindakan remaja itu selain menganggap wang itu bukan rezeki mereka berdua.

Katanya, dia juga tidak menyimpan perasaan marah atau dendam dengan tindakan suspek selain bersyukur kerana mereka berdua tidak mengalami kecederaan.

“Kami anggap bukan rezeki dan halalkan wang yang diragut. Mungkin ada hikmah kejadian itu dan mungkin rezeki kami pada tempat lain.

“Soal polis dah tangkap (suspek) pun mak cik tak ambil kisah, nak kata suka pun tak, marah pun tak.  Biarlah polis jalankan tugas mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya