JELEBU: Wanita warga emas hidup sebatang kara di sebuah rumah di Taman KSM, Kuala Klawang di sini, malah, menanggung sakit tulang belakang sejak 10 tahun lalu.
Chin Nyok Yun @ Chen Nyok Yun, 72, memberitahu, setiap hari dia hanya memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidupnya selepas dia kini tidak mampu lagi untuk bekerja kerana masalah kesihatannya itu selain faktor usia.
Dia yang tidak pernah berkahwin berkata, dia kini hanya bergantung kepada tanaman sayur di depan rumah yang menjadi sumber makanan buatnya.
“Sudah 10 tahun saya tidak bekerja disebabkan sakit tulang belakang, sebelum ini, saya ada buat kerja menoreh getah, tetapi, sekarang sudah tidak larat dan ada tanam sikit sayur untuk makan.
“Saya juga pernah menjalani pembedahan untuk sakit tulang belakang ini, namun masih belum sembuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.
Nyok Yun berkata, selain menderita sakit buah pinggang, dia juga mempunyai ketumbuhan di hidung dan telah melakukan pembedahan sebanyak sembilan kali.
“Sudah sembilan kali buat pembedahan untuk buang ketumbuhan di hidung, tetapi, ketumbuhan itu ada semula menyebabkan saya rasa tidak selesa untuk bernafas,” katanya.
Menurut Nyok Yun, dia mempunyai dua orang kakak tetapi sudah meninggal dunia manakala abangnya yang berusia 80 tahun sudah uzur dan menetap di Kuala Lumpur.
“Saya ada seorang anak saudara dan biasanya dia akan datang berjumpa setahun sekali, tetapi, dia juga tidak sihat dan ada masalah jantung.
“Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan masih berdaya untuk menjaga diri walaupun kadang kala rasa sunyi,” katanya.
Nyok Yun berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dia pernah menaiki bas dari Seremban ke Kuala Lumpur seorang diri untuk temu janji di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
“Awal pagi, saya naik bas dari Seremban ke Kuala Lumpur, kemudian sampai sahaja anak buah datang jemput dan hantar ke PPUKM,” katanya.
Jelas Nyok Yun, dia kini meneruskan hidup dengan bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan selain pernah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM500 tahun lalu. -UTUSAN ONLINE