Warga emas cedera diserang beruk - Utusan Malaysia

Warga emas cedera diserang beruk

MOHD. Izuwan Zulkafli menunjukkan kecederaan yang dialami ibu saudaranya akibat diserang beruk liar dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Chuai Hilir, Rembau, tengah hari tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Warga emas cedera di kedua-dua belah tangan dan kaki susulan diserang seekor beruk dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Chuai Hilir, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Zaiton Md. Jidin, 65, dikejarkan ke Hospital Rembau bagi mendapatkan rawatan awal dan dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut.

Menurut anak saudara mangsa, Mohd. Izuwan Zulkafli, 34, dia segera ke lokasi kejadian setelah mendapat panggilan daripada ibunya, Hansanah Md. Jidin, 63, yang meminta dia segera membantu ibu saudaranya itu yang pada ketika itu berada di rumah jiran.

“Sebaik sampai, saya lihat Induk (Zaiton) cedera teruk dengan kesan gigitan di lengan kanan dan baju serta tudungnya juga dipenuhi darah. Induk kata dia bergelut dengan beruk besar yang tiba-tiba menyerangnya semasa dia sedang mencari bunga kantan untuk dijual,” katanya ketika ditemui di Kampung Chuai Hilir, di sini, tadi.

Mohd. Izuwan berkata, sejak lima tahun lalu, binatang liar seperti beruk dan babi hutan kerap masuk ke kawasan kampung terutamanya semasa musim buah-buahan.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum ini, binatang berkenaan tidak pernah menyerang penduduk walaupun ada waktunya haiwan liar tersebut datang dalam jumlah yang banyak.

“Saya amat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat memantau masalah ini dan mengambil tindakan bersesuaian bagi mengelakkan kejadian sebegini tidak berulang lagi

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya telah meninjau ke lokasi kejadian bagi menyiasat aduan mengenai kejadian berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Beruk berkenaan tiada di lokasi dipercayai telah melarikan diri ke kawasan semak belukar di kawasan berhampiran. Bagaimanapun, kami akan segera meletakkan perangkap dengan umpan buah-buahan di lokasi berkenaan selewat-lewatnya esok bagi menangkap beruk berkenaan.

“Pihak kami sebelum ini tidak pernah menerima aduan mengenai beruk liar di kawasan perkampungan berkenaan, namun, aduan membabitkan babi hutan ada diterima di lokasi sama. Ini pertama kali kami menerima aduan penduduk cedera diserang beruk dalam tempoh lima tahun di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya