Wang i-Sinar bantu Soffi jana pendapatan - Utusan Malaysia

Wang i-Sinar bantu Soffi jana pendapatan

AHMAD Soffi Abdul Manah bersama Sambal Tomat yang dijual dengan bermodalkan sebahagian daripada wang i-Sinar di Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ahmad Soffi Abdul Manah, 32, dari Kampung Balik Bukit, Chuping di sini pernah ‘jatuh’ selepas hilang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Dengan tiga anak berusia antara empat hingga satu tahun yang semakin membesar, Ahmad Soffi ketika itu buntu mencari pendapatan bagi meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan ekonomi serba mencabar berikutan pandemik Covid-19.

Namun, dia sama sekali tidak berputus asa seterusnya bangkit mengusahakan perniagaan nasi lalap dan dengan bermodalkan sebahagian wang i-Sinar, Ahmad Soffi meneroka perniagaan baharu iaitu menghasilkan sambal yang turut mendapat sambutan cukup baik meskipun baharu sebulan menjual produk tersebut.

Katanya, Sambal Tomat berharga RM12 sebalang itu terjual sehingga 50 ke 100 balang sehari khususnya melalui jualan dalam talian.

Bekas penulis di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu memberitahu, dia menghasilkan sendiri sambal tersebut de­ngan resipi daripada ibu mentua­nya dari Tawau, Sabah.

“Sebelum ini saya berniaga nasi lalap namun selepas PKP baru-baru ini perniagaan itu terpaksa dihentikan. Selepas ada sedikit modal melalui wang i-Sinar, saya cuba menjual sambal dan Alhamdulilah mendapat sambutan cukup baik.

“Dengan hasil pendapatan daripada jualan sambal itu dapat membantu menampung kehidupan kami sekeluarga dan insya-Allah perniagaan kecil-kecilan kami itu akan dikembangkan lagi selepas ini.

“Selepas hilang pekerjaan sebelum ini, saya agak buntu namun saya percaya rezeki itu tidak pernah salah alamat dan apa yang penting kita perlu berusaha dan jangan sesekali putus asa atau patah semangat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Ahmad Soffi, keistimewaan sambal yang menggabungkan tomato dan cili itu adalah sesuai untuk pelbagai jenis hida­ngan.

“Rasa manis-manis pedas Sambal Tomat ini menjadi tarikan pelanggan. Ketika ini, saya dibantu isteri yang melakukan kerja-kerja pemasaran,” katanya.

INFO
Produk : Sambal Tomat
Lokasi : Kampung Balik Bukit, Chuping, Perlis
Nombor untuk tempahan : 013-5065625
Facebook : Dapoq Balbuk

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya