PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua rakyat Malaysia yang layak diberikan suntikan vaksin Covid-19 agar mendaftar selepas pendaftaran dibuka dalam waktu terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.
Menurut Perdana Menteri, vaksinasi itu amat penting untuk semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara menerima vaksin.
Kata beliau, ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 ini daripada menjadi lebih teruk.
“Alhamdulillah, kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech telah selamat tiba pada pukul 10 pagi hari ini, 21 Februari 2021, di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).
“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin dan semua pihak serta agensi yang terlibat, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula Rabu ini melalui tiga fasa.
Fasa pertama, kata beliau, adalah dalam tempoh Februari hingga April untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Beliau memberitahu, Fasa 2 (April – Ogos 2021) adalah untuk kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.
“Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022) untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
“Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam fasa 2 dan 3, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa 1 dilakukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE