Vaksin: 8,190 dos selamat tiba di Melaka - Utusan Malaysia

Vaksin: 8,190 dos selamat tiba di Melaka

VAN syarikat logistik DHL yang membawa vaksin Covid-19 Pfizer BioNTech diiringi anggota keselamatan tiba di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka jam 11.50 pagi tadi. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 8,190 dos vaksin Covid-19 yang diharap akan membawa sinar baharu kepada seluruh penduduk negeri ini selamat tiba di Hospital Melaka di sini pada pukul 11.55 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, suntikan imunisasi fasa pertama akan dimulakan pada 2 Mac depan melibatkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat di negeri ini. 

Katanya, suntikan itu nanti akan dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kesemua tiga hospital dan klinik kesihatan di negeri ini. 

“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi negeri Melaka apabila kita menerima penghantaran dos pertama sebanyak 8,190. 

“Suntikan vaksin akan diberikan kepada secara rasmi kepada golongan fasa pertama iaitu barisan petugas hadapan pada 2 Mac, namun sebelum itu vaksinator akan diberikan suntikan pada 26 Februari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Hospital Melaka di sini, hari ini.

Rahmad menambah, sebanyak 2,810 lagi dos vaksin keluaran Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Melaka dalam masa masa dua hari bagi melengkapkan jumlah keseluruhan 11,000 dos untuk fasa satu. 

Katanya lagi, pemberian vaksin fasa kedua dijadualkan bermula pada Mei hingga Ogos depan membabitkan seramai 250,000 pesakit kronik dan warga emas. 

“Fasa ketiga pula membabitkan 400,000 individu berumur 18 tahun ke atas pada September hingga Februari 2022. 

“Saya berharap orang ramai akan membuat pendaftaran melalui MySejahtera atau boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876 untuk mendapatkan suntikan vaksin ini bagi memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya