JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil mengadakan program motivasi menyemai pemuafakatan antara guru-guru dan ibu bapa dalam menjayakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Program Bicara Guru yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu diadakan secara maya dan mendapat sambutan memberangsangkan.
Pengarah Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM, Prof. Dr. Intan Zaurah Mat Darus berkata, tujuan program itu adalah untuk menyelesaikan masalah komuniti sasaran bertepatan dengan kebiasaan baharu ekoran pandemik Covid-19.
“Program ini diharap dapat memberi peluang terutama kepada para guru dalam mendepani cabaran mendidik ketika ini.
“Selain itu komitmen bersama dan peranan ibu bapa bagi membimbing pelajar supaya terus bersemangat meneruskan pembelajaran perlu dipupuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. – UTUSAN ONLINE