Usahawan rugi RM3.8 juta ditawar ‘Geran Bantuan IMF’ - Utusan Malaysia

Usahawan rugi RM3.8 juta ditawar ‘Geran Bantuan IMF’

MOHD. SALLEH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lelaki warga emas hanya menyedari ditipu sindiket penipuan dalam talian selepas kerugian sebanyak RM3.8 juta apabila terpedaya dengan tawaran Geran Bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, mangsa yang berusia 74 tahun itu ditipu seorang kenalan Facebook yang menggunakan nama Freddie Khoo.

Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang usahawan itu mula mengenali suspek berkenaan pada bulan Julai, tahun lalu dan berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum berjaya mendapat geran bantuan tabung berkenaan yang pada mulanya ditawarkan sebanyak RM605,474 (USD150,000).

“Mangsa kemudian membuat pembayaran pertama berjumlah RM12,800 sebelum suspek meningkatkan jumlah tawaran bantuan geran kepada RM3.6 juta (USD900,000).

“Ekoran terpedaya dengan tawaran itu, suspek membuat 64 transaksi terhadap 10 akaun bank tempatan yang berbeza antara Julai hingga Disember tahun lalu dengan nilai keseluruhan RM3.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Salleh, suspek kemudian memaklumkan mangsa bahawa tawaran geran itu telah tamat tempoh dan mangsa perlu membuat permohonan semula.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu suspek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi semalam manakala kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran diberi individu tidak dikenali khususnya melalui laman sosial.

“Jangan terpedaya dengan janji manis orang tengah yang mendakwa boleh mendapatkan bantuan kewangan.

“Sementara itu, orang ramai yang was-was boleh menghubungi talian 013-2111222 untuk sebarang pertanyaan berhubung jenayah komersil,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN