UPM fokus transformasi pertanian dengan teknologi terkini - Utusan Malaysia

UPM fokus transformasi pertanian dengan teknologi terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) mahu memberi tumpuan utama kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini bagi mengubah landskap agromakanan negara.

Langkah ini selaras dengan lima strategi utama yang digariskan iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi, membangun karektor graduan UPM, melagang kampus pintar dan pendigitalan, mendukung kelestarian institusi mapan dan menatang pembudayaan norma baharu.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, dengan cara ini ia dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

 “Pertanian berteknologi tinggi ini melibatkan penggunaan drone, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Tambah Roslan lagi, dalam transformasi ini pihaknya akan meningkatkan integrasi penyelidikan bagi memastikan inovasi tersebut dapat memberi impak yang maksima.

“Contohnya penggabungan kepakaran bidang pertanian, kejuruteraan dan teknologi maklumat dalam menghasilkan inovasi dalam sistem penderiaan dan automasi.

“Selain itu, mewujudkan jerayawara model pertanian berteknologi tinggi di UPM dengan kerjasama pihak industri tempatan mahupun antarabangsa. Ketiga, pengeluaran produk teknologi tinggi jenama UPM yang berimpak. Keempat, pemerkasaan kumpulan bakat yang berketrampilan dan mampu  menyesuaikan diri dengan perubahan yang pantas bagi menggalakkan penciptaan produk atau teknologi baharu,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, UPM dipilih Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membangunkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar untuk memenuhi hasrat menghasilkan graduan yang bakal menerajui sektor pertanian pintar negara.

Program ini telah mendapat kelulusan Senat Universiti dan akan ditawarkan tidak lama lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN