Umur 25 tahun sudah urus syarikat bas ekspres - Utusan Malaysia

Umur 25 tahun sudah urus syarikat bas ekspres

“Dengan kewujudan TRA Xpress ini juga pihak syarikat (TRA Holidays) menetapkan sasaran baharu iaitu untuk memiliki hingga 40 buah bas secara keseluruhannya dalam tempoh lima tahun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Tujuh tahun lalu Nur Safwan Md. Salleh adalah penjual tiket bas secara sambilan semasa menuntut di sebuah universiti swasta dalam jurusan diploma perniagaan.

Bermula daripada situ, minatnya dalam perniagaan perkhidmatan bas semakin bercambah sehingga Nur Safwan, 25, akhirnya memberanikan diri menguruskan sebuah syarikat sendiri.

Ketika rata-rata rakan seusianya mencari-cari hala tuju selepas tamat pengajian, anak bongsu daripada dua beradik itu sudah memikul tanggungjawab besar selaku Pengurus Eksekutif TRA Xpress.

TRA Xpress merupakan ‘buah tangan’ terbaharu syarikat bas persiaran milik bumiputera, TRA Holidays Sdn. Bhd. yang telah bertapak di Penaga, di sini sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurut Nur Safwan, perancangan menubuhkan TRA Xpress sebenarnya dibuat sejak beberapa tahun lalu, namun tertangguh disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Secara kebetulan pula, tarikh pelancaran bas ini berlaku ketika Covid-19 masih menular dan kami tiada pilihan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ketika ini, TRA Xpress memiliki dua buah bas ekspres serba moden dengan setiap satunya bernilai lebih RM600,000 dan akan memiliki bas ketiga dalam tempoh terdekat.

“Dengan kewujudan TRA Xpress ini juga pihak syarikat (TRA Holidays) menetapkan sasaran baharu iaitu untuk memiliki hingga 40 buah bas secara keseluruhannya dalam tempoh lima tahun,” katanya yang memberitahu, buat masa ini,

TRA Xpress akan memfokuskan laluan bagi perjalanan dari utara ke selatan sahaja.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TRA Holidays, Fauziah Che Ani berharap kewujudan TRA Xpress akan mempelbagaikan lagi perkhidmatan bas yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

“Seperti syarikat-syarikat bas lain, kami di TRA Holidays juga sangat terkesan dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Covid-19 ini hingga hampir semua 10 buah bas yang kami miliki tersadai begitu sahaja di tempat parkir selama hampir 11 bulan.

Selain perkhidmatan berkaitan bas, TRA Holidays yang mempunyai 17 kakitangan secara keseluruhannya turut menawarkan beberapa perkhidmatan sewaan lain.

Ia termasuk van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah serta pakej pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pakej umrah dan ziarah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN