KANGAR : Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas sebanyak 250.25 kilogram (kg) ganja dan 770 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM640,000 dalam tiga serbuan di sekitar Padang Besar, Isnin lalu.
Berikutan serbuan bermula kira-kira pukul 6.30 sehingga 9.45 lagi itu, polis turut menahan lapan individu berusia antara 12 hingga 51 tahun dengan enam daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua suspek utama direman selama tujuh hari bermula pada 1 Februari lalu.
Salah sebuah rumah yang diserbu pihak polis di Padang Besar itu juga dipercayai dijadikan transit bagi aktiviti penyeludupan dadah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad memberitahu, serbuan itu dilakukan susulan daripada penangkapan ahli sindiket pengedaran dadah yang sama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.
Katanya, sepasukan anggota dari JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Perlis telah melakukan tiga serbuan di sekitar Padang Besar dan bertindak menahan tujuh suspek termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berada di rumah itu.
Bagaimanapun katanya, hanya dua suspek utama berumur 41 dan 51 ditahun ditahan reman manakala enam lagi termasuk kanak-kanak tersebut serta dua lagi wanita dibebaskan dengan jaminan polis.
Sehubungan itu katanya, pihak polis terus menjalankan siasatan baki memburu saki baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
“Bekalan yang diambil dari negara jiran itu adalah untuk pasaran di Lembah Klang dan salah sebuah rumah yang kita serbu itu menjadi transit untuk barangan berkenaan dibawa ke Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.
Tambah Zainuddin, kes disiasat dibawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Kita juga menyita pelbagai aset seperti dua buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal bernilai RM185,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan tersebut adalah sebanyak RM830,000.
“Kita akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE