JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki warga Rohingya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Pendatang Warga Asing kerana menunggang motosikal yang diubahsuai dan tidak memiliki lesen memandu yang sah di sekitar daerah ini hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ negeri, Mohamad Firdaus Mohamad Ibrahim berkata, tujuh buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (2) akta sama iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan barang.
“Selain itu, penunggang dan kenderaan juga diambil tindakan di bawah akta tersebut dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 atas pelbagai kesalahan dan lain-lain kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, motosikal yang diubahsuai itu bagi tujuan mengutip dan membawa barang lusuh untuk dijual ke pusat kitar semula.
Mohamad Firdaus berkata, seramai 15 anggota dan pegawai dari bahagian penguatkuasa JPJ Johor terdiri daripada seksyen operasi ,unit operasi dan unit siasatan terlibat dalam operasi itu sejak pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berfokus dan berterusan bagi memastikan peraturan jalan raya dipatuhi dan juga meningkatkan keselamatan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JPJ Johor memaklumkan, pihaknya mengeluarkan 25 notis terhadap kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas muatan di dalam kawasan Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, di sini.
Dalam operasi tersebut, sebanyak notis-notis tersebut dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan untuk diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
Antara kesalahan yang dikenakan tindakan itu adalah kesalahan membawa muatan melebihi had yang dibenarkan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran, ubah suai kenderaan dan kesalahan-kesalahan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE