Tujuh kakitangan JPJ direman seminggu - Utusan Malaysia

Tujuh kakitangan JPJ direman seminggu

TUJUH kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Johor (JPJ) di reman tujuh hari untuk membantu siasatan ketirisan hasil kerajaan jutaan ringgit di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini. Gambar: Baazlan Ibrahim. Pemberita: Mohamad Faizal Utusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes ketirisan kutipan cukai jalan mencecah RM3.1 juta pada 2019. 

Majistret Nurmadiana Mamat mengeluarkan perintah reman berkenaan terhadap semua suspek selepas ia dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor. 

Kesemua suspek melibatkan lima lelaki dan dua wanita yang berusia 27 hingga 42 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 28 Februari ini.

Reman itu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor dengan nilai mencecah RM3.1 juta. 

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM Johor menahan tujuh petugas JPJ Johor yang dipercayai memanipulasi sistem MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dalam tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember 2019.

Kesemua mereka bertugas di JPJ Johor Bahru di Taman Daya, di sini ditahan antara pukul 11 pagi hingga 1 petang, semalam.

Terdahulu, isu tersebut dibongkar Utusan Malaysia yang mendedahkan kaunter hadapan agensi itu dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Isu paling kerap berlaku adalah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan yang melakukan ‘pakatan jenayah’ dengan menceroboh sistem JPJ iaitu MySikap melalui penyalahgunaan nombor identiti (ID) mereka bagi tujuan memanipulasi maklumat demi keuntungan diri sendiri.

Mereka ini melakukan ‘pakatan jenayah’ dengan ejen-ejen tertentu dengan menggunakan cap rasmi jabatan itu seperti menjual lesen terbang, menukar hak milik kenderaan (kereta klon) dan paling melampau ada juga dikesan menggugurkan pendakwaan kepada pesalah jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim memberitahu, kepincangan itu berlaku kerana ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) khususnya di bahagian kaunter perkhidmatan agensi itu mengakibatkan mereka bebas melakukan ‘kerja-kerja’ kotor berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya